Mafhum Tasawuf dan Tareqat
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, tasawuf dalam
penggunaan ahli sufi merujuk kepada akhlak dan proses penyucian jiwa (rujuk
siri penerangan tasawuf sebelum ini). Adapun golongan yang tidak mahu
menggunakan istilah tasawuf, tidak mengapa. Apa yang paling penting, bukan
nama, tetapi mafhum dan makna tasawuf itu sendiri, merupakan suatu kewajiban
bagi setiap umat Islam.
Sepertimana dalam ilmu fiqh, kalau ada yang mengatakan,
“saya menolak penggunaan nama ilmu fiqh”, namun kewajiban keatasnya untuk
beramal dengan mafhum dan makna ilmu fiqh tersebut tetap tidak gugur, kerana
ilmu fiqh merupakan istilah yang merujuk kepada syariat, dan syariat wajib
diikuti oleh setiap umat Islam.
Begitu juga dengan golongan yang mendakwa, kononnya mereka
menolak penggunaan istilah tasawuf, namun mafhum dan makna tasawuf tersebut
wajib juga dilaksanakan kerana mafhum dan makna istilah tasawuf merujuk kepada
ilmu akhlak dan penyucian jiwa, dan penyucian jiwa ialah wajib bagi setiap
individu muslim.
Nama tidak penting. Apa yang penting ialah makna! Gunalah
nama apa sekalipun, tetapi ia tetap merujuk kepada suatu makna yang fardu ke
atas umat Islam iaitu, penyucian jiwa dan berakhlak dengan akhak yang mulia.
Tareqat Sufiyah
Tareqat bermaksud jalan yang dilalui oleh seseorang. Apabila
dinisbahkan kepada golongan sufi, ianya merujuk kepada suatu penggunaan khas
yang bermaksud, manhaj sesuatu golongan sufi dalam tarbiah.
Satu tareqat merujuk kepada seorang mursyid, dengan bilangan
anak murid yang ramai, dengan manhaj tarbiah yang tertentu, seperti himpunan
zikir-zikir dan sebagainya. Ini dikenali dengan tasawuf amali (rujuk buku
Tasawuf Amali karangan Sheikhuna Ust Rahimuddin An-Nawawi Al-Banteni).
Ianya dikenali pada awal kurun kelapan hijrah. Dikatakan,
orang yang pertama mengasaskan suatu bentuk manhaj tarbiah yang sistematik
ialah Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a.. Manhaj tarbiah ini dikenali dengan
Tarikat Sufiyah.
Walaupun tidak dapat dinafikan, sebelum Sheikh Abdul Qadir
Al-Jailani r.a. lagi, sudah wujud tarikat-tarikat sufiyah, seperti tarikat
Al-Junaidiyah (yang dinisbahkan kepada Imam Junaid r.a.) dan sebagainya, namun
tarikat-tarikat sebelum Sheikh Al-Jailani r.a. tidaklah dalam bentuk sistematik
dan tersusun. (rujuk buku Tasawuf Amali).
Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. mengasaskan gagasan baru
dalam lembaran sejarah sufi apabila membuat suatu madarasah secara terbuka dan
mengambil anak murid yang ramai dalam satu masa, dan menyusun manhaj tarbiah
yang berlandaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Hal ini menyebabkan beliau juga merupakan mujaddid dalam
dunia sufi yang menunjukkan kepentingan Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam manhaj
tarbiyah sufiyah, di samping menegaskan bahawa, Hakikat tidak terpisah dengan
Syariat. Idea asal islah dan tajdid dalam dunia sufi ini sebenarnya diambil
dari Imam Al-Ghazali r.a. melalui karangan-karangan beliau seperti Ihya’
Ulumiddin, yang membahaskan mengenai tajdid ini secara teori, dan diterjermahkan
ke dalam realiti oleh Sheikh Al-Jailani r.a..
Setelah itu, para murid Sheikh Al-Jailani r.a. menisbahkan
manhaj tarbiah mereka kepada mursyid mereka iaitu, Sheikh Abdul Qadir
Al-Jailani r.a., dengan nama tarikat Qadiriyah. Setelah itu, muncullah
ulama’-ulama’ sufi lain yang melakukan metodologi tarbiah secara besar-besaran
seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a., seperti Sheikh
Abul Hasan As-Syazuli, Sheikh An-Naqsyabandi dan sebagainya. (rujuk buku
Tasawuf Amali).
Manhaj tarbiah mereka yang tersusun tersebut dikenali
sebagai tarikat sufiyah. Dari sini, jelaslah bahawa, tarikat sufiyah tidak lain
melainkan suatu madrasah tarbiah penyucian jiwa, hasil ijtihad para ulama’
sufi, dalam mentarbiah manusia. Sepertimana dalam bidang fiqh, ada mazhab
tertentu, begitu juga dalam bidang penyucian jiwa, ada pelbagai manhaj tarbiah
yang berbeza, sesuai dengan keadaan manusia dan sejajar dengan ijtihad para
mursyid sufi yang jujur tersebut.
Adapun pertuduhan-pertuduhan ke atas tarikat sufiyah
sebenarnya merupakn pertuduhan yang tidak berasas. Walaupun terdapat di
kalangan para sufi yang bercanggah dengan ajaran Islam, namun ianya turut
dikritik dan ditegur oleh para ulama’ sufi itu sendiri. Namun, sikap
mengkafirkan sesetengah golongan sewenang-wewenagnya yang dibawa oleh aliran
salafiyah wahhabiyah tidak pernah mebaiki keadaan bahkan lebih mengeruhkan
keadaan.
Para ulama’ sufi turut menegur kesalahan-kesalahan para
murid yang melampaui batasan Islam. Ini juga merupakan intipati ajaran sufi,
yang membetulkan setiap kesalahan murid hatta kesalahan mereka yang
berlebih-lebihan dalam sesetengah perkara, seperti kepercayaan penuh terhadap
ilham, keinginan mendapatkan karamah dan lain-lain lagi.
Kalau kita lihat, ramai di kalangan para ulama’ Islam yang
menegur kesalahan-kesalahan sesetengah golongan sufi itu sendiri, merupakan
dari kalangan sufi juga, seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Junaid Al-Baghdadi
r.a., Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a., Imam Ar-Rifa’i r.a., Imam As-Syazuli
r.a. dan sebagainya. Ini kerana, di sisi golongan sufi, ada mutiara yang lebih
berharga dari debu-debu yang melingkari kulitnya, hasil kejahilan sebahagian
dari golongan sufi sendiri.
Kebanyakkan Para Ulama’ Memilih Jalan Sufi
Jika kita singkapi sejarah umat Islam, kita dapati bahawa,
ramai di kalangan ulama’-ulama’ besar Islam yang mengambil jalan sufi atau
bersahabat dengan para sufi yang muhaqqiq. Antara mereka adalah, Al-Imam
As-Syafi’e r.a. (rujuk buku Kasyfu Khafa’ m/s 341 karangan Imam Al-‘Ajluni),
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. (ghuza’ul albab m/s 1/120 dan tanwir Al-Qulub
karangan Imam Al-Kurdi, m/s 405), Imam Abu Hanifah (Ad-Dur Al-Mukhtar 1/43),
Imam Al-Ghazali r.a., Imam Junaid r.a., Imam Ar-Razi r.a., Imam ‘Izzuddin bin
Abdul Salam r.a. dan sebagainya.
Jangan risau! Jalan tarikat sufiyah tidak wajib. Sesiapa
yang ingin mengambilnya, dipersilakan, dan sesiapa yang boleh menyucikan diri
sendiri juga silakan.
Tetapi, para ulama’ muktabar yang memiliki ilmu Islam yang
yang cukup mendalam juga, seperti yang disebutkan sebelum ini, turut mengambil
tarikat sufiyah untuk menyucikan jiwa mereka.
Imam As-Sya’rani (digelar sebagai As-Syafi’e As-Shoghir)
menegaskan bahawa: “Kalaulah Imam Al-Ghazali, sebagai Hujjatul Islam dan Imam
Izz Abdul Salam, sebagai Sultonul ‘Ulama’, turut mengambil jalan sufi sebagai
jalan membersihkan jiwa, dengan mengambil tarbiah dari para sufi, maka siapakah
kita, untuk tidak mengambil jalan tarikat sufiyah untuk menyucikan jiwa?”
Takkala Imam As-Sya’rani yang merupakan As-Syafi’e As-Soghir
sekalipun, mengakui kelemahan beliau dalam menyucikan jiwanya sendiri dari
sifat-sifat mazmumah, dengan keilmuan beliau yang tinggi, siapalah kita untuk
menyucikan jiwa kita sendiri?
Tetapi, siapa yang rasa, kononnya dirinya boleh menyucikan
jiwa dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah sendiri, silakanlah. Sedangkan Imam
Al-Faqih Abu Hanifah Imam Al-Mujtahid As-Syafi’e, Imam Al-Muhaddith Ahmad bin
Hanbal, Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali, Imam Sultonul ‘Ulama’ Ibn Abdi
As-Salam, Imam As-Syafi’e As-Soghir As-Sya’rani (radhiallahu ‘anhum ajma’in),
juga mengambil tarbiah penyucian jiwa dari golongan sufi, atau
sekurang-kurangnya bersahabat dengan golongan sufi, untuk menyucikan jiwa,
siapalah kita untuk menyucikan jiwa kita dengan sendirinya?
Ya, benar! Khabar gembira buat mereka yang belum ambil jalan
sufiyah, untuk menyucikan jiwa, kerana tarikat sufiyah bukanlah suatu
kewajiban, selagimana diri sendiri boleh menyucikan jiwa tanpa melalui proses
tarbiah dari seorang mursyid. Boleh jadi juga, mereka lebih hebat dari Imam
Al-Ghazali yang merupakan hujjatul Islam dan selain dari beliau. Masya
Allah…Subhanallah…
Kalaulah sememangnya penyucian jiwa boleh dilakukan hanya
dengan merujuk kepada kitab-kitab seperti Al-Qur’an dan kitab himpunan
hadis-hadis, sudah tentu Allah s.w.t. akan turunkan Al-Qur’an dalam bentuk
kitab dan himpunan hadis-hadis dalam bentuk buku yang sudah terhimpun, tanpa
mengutuskan Rasulullah s.a.w. sebagai Murabbi dan Mursyid para sahabat.
Ramai orang awam yang keliru dalam masalah ini. Ini kerana
apabila Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa, para ulama’ adalah pewaris para
nabi, bererti juga mereka (para ulama’) yang amilin (yang beramal dengan ilmu)
mewarisi juga Al-Bashirah (pandangan mata hati) yang membolehkan mereka
berijtihad dalam masalah fiqh berlandaskan nas-nas Islam, dan menyucikan jiwa
dengan pandangan mata hati dan pengalaman ditarbiah oleh seorang mursyid
sebelum beliau.
Di sini, letaknya kepentingan mengambil tarbiah dari
seseorang yang sudah ditarbiah. Oleh yang demikian, para sahabat mengambil
tarbiah dari Rasulullah s.a.w. yang sudahpun ditarbiah oleh Allah s.w.t., dan
seterusnya para tabi’in mengambil tarbiah dari para sahabat, dan begitulah
seterusnya sehingga hari ini. Inilah yang dikenali sebagai silsilah tarbiah
dengan izin, yang tidak difahami oleh kebanyakkan para awam sehingga
memperkecilkannya.
Kalaulah sememangnya tarbiah boleh dilakukan dengan sendiri,
cukup merujuk kepada kitab Al-Qur’an dan buku-buku himpunan Hadis, nescaya
Allah s.w.t . hanya mengutuskan dua kitab tersebut (Al-Qur’an dan As-Sunnah)
atau mengutuskan Rasulullah s.a.w. dalam tempoh masa sehari dua untuk
menyampaikan dua kitab tersebut kepada para sahabat.
Kebangkitan Rasulullah s.a.w. di kalangan umat manusia pada
ketika itu, dan dakwah Baginda s.a.w. selama 23 tahun, hidup dengan para
sahabat, merupakan mesej yang penting kepada kita, tentang kepentingan berguru
dalam mengambil tarbiah, sepertimana para sahabat mengambil tarbiah dari Rasulullah
s.a.w., para tabi’in mengambil tarbiah dari para sahabat dan begitulah
seterusnya.
Bagi mereka yang tidak memahami konsep Sunnah, menganggap
buku-buku hadis sahaja merupakan sunnah, tanpa memerhatikan kefahaman Sunnah
itu sendiri, di mana ianya menunjukkan tentang kepentingan mursyid dalam
mendidik dan menyucikan jiwa.
Mengapa Muncul Tarikat pada Zaman Setelah Salaf?
Kemunculan Tarikat Sufiyah yang membawa warisan tarbiah dari
Salaf merupakan natijah dari kepincangan bidang pengajaran umat Islam pada
suatu masa. Pada zaman keempat hijriyah dan seterusnya, madrasah-madarasah mula
dibuka secara meluas, dan menyebabkan ramai di kalangan penuntut ilmu masuk
berbondong-bondong ke dalam madrasah tersebut.
Dari zahirnya, ia merupakan suatu perkembangan positif dalam
memperbanyakkan pelapis-pelapis para ulama’, namun dari suatu sudut yang lain
juga, lambakkan penuntut ilmu di madrasah-madrasah ilmiah menyebabkan institusi
pengajaran Islam tersebut hanya mewarsiskan ilmu pengetahuan tanpa mewariskan
tarbiah kepada panuntut-penuntut ilmu.
Ini menyebabkan lahirnya generasi ulama’ baru yang mana,
sebahagian dari mereka tidak ditarbiah dengan sempurna. Ini menyebabkan, mereka
mewarisi ilmu tanpa amal, hasil ketandusan tarbiah dalam intisitusi pengajian
Islam.
Ia lebih dikenali dengan istilah moden sebagai Sekularisasi
Ilmu Pengetahuan. Namun, dalam bidang ilmu-ilmu Islam, ia lebih parah kerana
apabila ulama’ Islam sendiri mengidap penyakit dalaman seperti takabbut’ ujub’
dan sebagainya, maka sudah pasti masyarakat akan terkesan sama bahkan lebih
parah lagi.
Natijah dari lahirnya banyak ulama’ yang tidak ditarbiah
dengan sempurna, menyebabkan mereka tidak mengamalkan ilmu mereka sehingga
mewujudkan juga masyarakat yang jauh dari tarbiah penyucian jiwa. Ulama’ sedemikian
dikenali dengan istilah ulama’ dunia atau ulama’ suuk menurut Imam Al-Ghazali
r.a.. Bahkan, beliau turut mengakui, terkesan dengan kemelut tersebut, kerana
mendapati dalam dirnya wujud sifat riya’, ujub dan sebagainya sedangkan secara
teorinya beliau tahu ia merupakan suatu kesalahan. Hanyasanya, setelah beliau
mengambil tarbiah dari seorang sufi, (Sheikh Yusuf An-Nassaj), beliau mampu
merawat masalah tersebut (rujuk buku Al-Munqiz min Ad-Dholalah dan lain-lain).
Hal ini memaksa sebahagian ulama’ amilin dan ahli zuhud
tampil untuk memperbaiki masalah ini dengan mewujudkan suatu bentuk madrasah
baru dalam mengimbangi kemelut ilmu dan pengajian dalam umat Islam. Di sebelah
madrasah ilmiah yang kosong dari nilai tarbiah, didirikan madarasah tarbiah bagi
mengimbangi keperluan umat Islam dari sudut kerohanian dan kebendaan.
Oleh yang demikian, ramai para ulama’ yang faham dengan
perkembangan ini, turut mengambil tarbiah dari madrasah tarbiah yang
dikembangkan oleh golongan yang dinamakan sebagai sufi, sepertimana mereka
mengambil ilmu dari madrasah ilmiah yang dikembangkan oleh golongan yang
dinamakan sebagai ulama’.
Berlalunya zaman, sehinggalah hari ini, madrasah ilmiah
tersebut dikenali sebagai jami’ah atau universiti, sedangkan madarasah tarbiah
dikenali sebagai tarikat sufiyah. Dewasa ini, pelbagai perkembangan positif untuk
menyatukan semula madrasah ilmiah dan tarbiah dalam satu institusi, namun
banyak yang gagal mencapai maksudnya.
Di Mesir, Universiti Al-Azhar mempelopori gagasan tajdid
yang cuba menggabungkan semula madrasah ilmiah dengan madrasah tarbiah,
khususnya di Masjid Al-Azhar itu sendiri. Oleh yang demikian, didapati ramai di
kalangan ulama’ Al-Azhar juga dalam masa yang sama merupakan mursyid-mursyid
dalam tarikat sufiyah masing-masing, dan di dalam proses pengajaran, diterapkan
nilai-nilai penyucian jiwa kepada para pelajar.
Kalau di Malaysia, wujudnya universiti-universiti awam yang
cuba menggabungkan nilai ilmu dan tarbiah, khususnya yang dibawa oleh IIUM atau
Universiti Islam Antarabangsa. Tetapi, kalau anda menjadi penuntut di IIUM
sendiri, anda mampu menilai sejauh manakah keberkesanannya, tanpa bimbingan
para mursyid yang berpengalaman.
Di zaman salafussoleh, tradisi ilmu tidak sama. Kebanyakkan
para ulama’ mengajar di dalam masjid dan mengenali murid-murid masing-masing
secara dekat. Dalam masa itu, mereka mampu mentarbiah generasi ulama’
seterusnya. Misalnya, apabila kita melihat di mana, Imam Hasan Al-Basri r.a.
ditarbiah sendiri oleh par sahabat termasuklah Saidina Ali r.a. sendiri.
Seterusnya, para tabi’ tabi’in pula ditarbiah oleh beliau dan begitulah
seterusnya. Tradisi pewarisan ilmu pada ketika itu, dipindahkan secara ilmiah
dan tarbiah. Jika kita lihat, selalunya murid seseorang ulama’ yang masyhur,
pasti tinggal di rumah ulama’ tersebut untuk ditarbiah, seperti hubungan Imam
As-Syafi’e dan Imam Al-Maliki, begitu juga dengan hubungan Imam Ahmad dan Imam
As-Syafi’e.
Tradisi ini semakin terhakis apabila jurang kuantiti antara
ulama’ dengan murid-murid semakin jauh, sehingga menyebabkan seorang ulama’
memiliki sejumlah besar anak murid, hatta guru tidak pernah mengenali
kebanyakkan dari mereka langsung.
Ini menyebabkan, ramai dari kalangan murid tersebut hanya
mewarisi ilmu dari para ulama’, tetapi tidak mewarisi akhlak mereka kerana
tidak pernah ditarbiah oleh mereka, seterusnya melahirkan generasi ulama’ baru
yang ketandusan tarbiah dan akhlak seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Jelaslah bahawa, tradisi ilmu dan pembelajaran zaman
salafusoleh berbeza dengan tradisi pembelajaran kita hari ini. Jika kita lihat,
di universiti-universiti sendiri, kebanyakkan dari kalangan penuntut tidak
dikenali secara mendalam oleh para pensyarah. Jadi, bagaimana untuk ditarbiah.
Bahkan, kebanyakkan para pensyarah tersebut juga, tidak pernah dikenali secara
mendalam oleh guru-gurunya sebelum itu, dan tidak pernah ditarbiah oleh mereka.
Di sinilah kemelut ilmu dan tarbiah yang perlu difokuskan
sebelum menuding jari dan menyalahkan pihak lain. Golongan sufi yang tampil
untuk mengimbangi kemelut ilmu dan masyarakat Islam tersebut, sebenarnya telah
memberi kesan yang amat positif dalam melahirkan ramai ulama’ yang seimbang
dalam bidang ilmiah dan tarbiah, seperti Imam As-Syafi’e sendiri, (yang hidup
di zaman awal permulaan sufi dan zaman awal perlebaran jurang kuantiti antara
ulama’ dan penuntut ilmu), Imam Al-Ghazali r.a. (di zaman nadi kemuncak
perkembangan ilmu-ilmu Islam yang ketandusan nilai-nilai tarbiah), Imam Abdul
Qadir Al-Jailani r.a. (perintis madrasah tarbiah sistematik secara terbuka dan
besar-besaran bagi mewujudkan kesinambungan madrasah ilmiah yang telah ada,
namun kosong dari nilai-nilai tarbiah), Imam Izz bin Abdul Salam, Imam
As-Sayuti, dan ramai lagi termasuklah para ulama’ Al-Azhar, ulama’-ulama’ di
bumi Syam dan Hadramaut yang kini giat dalam bidang pendidikan secara syumul
dan bersepadu (semoga Allah s.w.t. membalas jasa mereka semua…Amin…)
Kesimpulan
Tarikat dan Tasawuf bukanlah suatu kewajiban bagi umat
Islam. Ia cuma wajib bagi mereka yang tidak mampu untuk membaiki diri sendiri
hanya dengan menggunakan kitab Al-Qur’an dan As-Sunnah semata-mata. Ini kerana,
Al-Qur’an dan As-Sunnah juga tidak dapat difahami secara sempurna oleh orang
awam tanpa merujuk kepada para ahlinya, yang mewarisi kefahaman tersebut juga
dari guru-guru mereka.
Tarikat dan Tasawuf juga merupakan salah satu bentuk kefahaman
ulama’ yang bergiat dalam bidang tarbiah, dari ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah
juga. Oleh yang demikian, sesiapa yang merasakan bahawa, dirinya sudah cukup
untuk membaiki diri hanya dengan merujuk kepada kitab Al-Qur’an dan buku-buku
hadis, maka dipersilakanlah dia membaiki dirinya sendiri tanpa guru. Bahkan,
para sahabat juga memerlukan mursyid atau guru dalam memperbaiki diri,
sedangkan kita pula cukup merujuk lembaran-lembaran kitab. Walaupun Al-Qur’an
dan As-Sunnah adalah wahyu, barangkali mereka terlupa kepentingan Rasulullah
s.a.w. dalam mentarbiah para sahabat yang jelas didapati dalam kitab-kitab
hadis tersebut.
Manhaj tarikat yang sempurna mengandungi tiga ciri yang
utama:
Pertama: Guru yang kamil dan pernah mengambil tarbiah dari
seorang guru yang juga pernah mengambil tarbiah dari gurunya sebelum ini dan
seterusnya sehingga bersambung silsilah tarbiah tersebut kepada Rasulullah
s.a.w. melalui para sahabat, para tabi’in, tabi’tabi’en dan para ulama’ yang
amilin yang seterusnya.
Kedua: Murid yang jujur untuk sampai kepada Allah s.w.t.
dengan mengamalkan syariat Islam, dan mengabdi diri kepada Allah s.w.t. dengan
hakikat pengabdian seorang hamba.
Ketiga: Manhaj tarbiah yang bersandarkan Al-Qur’an,
As-Sunnah, Ijma’, Qiyas dan pelbagai lagi sumber hukum yang ada dalam Islam.
Manhaj tersebut perlulah selari dengan roh ajaran Islam dan prinsip-prinsipnya.
Adapun sesiapa yang cenderung untuk menolak tasawuf dan
tarikat kerana pernah menceburi tarikat yang menyeleweng, terlebih dahulu ucapan
takziyah buat mereka. Seterusnya, nasihat penulis, jujurlah untuk kembali
kepada Allah s.w.t., dan mintalah hidayah dari-Nya, di samping janganlah
menyalahkan dan menuduh sesat ke atas seluruh golongan sufi dengan kesalahan
sebahagian dari mereka.
Bagi mereka yang tidak mahu mengambil tarikat sufiyah kerana
yakin boleh mengubati diri sendiri tanpa mursyid yang kamil lagi berpengalaman,
kerana cukup baginya merujuk kepada dua kitab iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah
dengan kefahaman sendiri, doa kami semoga Allah s.w.t. membantu anda.
Nasihat penulis kepada mereka: Janganlah menyalahkan dan
menuduh sesat ke atas seluruh golongan sufi dengan kesalahan sebahagian dari
mereka, janganlah menyalahkan orang yang mengambil tarikat sufiyah kerana tidak
mampu mengubati diri sendiri seperti anda dan ingatlah bahawa, tarikat sufiyah
yang muktabar juga merupakan hasil kefahaman para ulama’ sufi dari Al-Qur’an
dan As-Sunnah juga. Oleh itu, janganlah bersikap jumud dan sewenang-wenangnya
menuduh mereka pelaku bid’ah dan sebagainya selagimana mereka mempunyai
sandarannya dari nas-nas Islam.
Renungan buat mereka yang tidak mengambil tarikat dan
mendakwa boleh memperbaiki diri sendiri dengan diri sendiri. Apa yang penting,
renungilah diri sendiri. Jawablah secara jujur kepada diri sendiri. Adakah diri
kita sudah bersih dari sifat-mazmumah? Dapatkah kita ikhlas dalam segenap
ibadah kita dengan kaedah penyucian diri sendiri? Dengan tarbiah diri sendiri
yang tiada pengalaman, dapatkah kita membuang sifat-sifat riya’, ujub dalam
diri sendiri yang tersembunyi? Untuk ujian yang mudah, cuba nilai,
kekhusuyukkan kita dalam solat. Adakah bermula solat kita, sehingga selesai
solat, 100% kita hudur (menghadirkan diri) dengan mengingati Allah s.w.t., atau
dalam masa solat juga, kita teringat perkara-perkara lain selain dari Allah
s.w.t.. Kalau kita mampu, teruskanlah usaha untuk mendidik diri sendiri dengan
kefahaman diri sendiri terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kalau tidak mampu,
terpulanglah kepada anda untuk terus memperbaiki diri sendiri dengan diri
sendiri tanpa bantuan mereka yang pakar dan berpengalaman dalam bidang
tersebut, atau memudahkan cara dengan mencari mereka yang pakar dalam masalah
tersebut.
Ingatlah dua perkara. Pertama, sabda Baginda s.a.w. yang
bermaksud: “ulama’a pewaris para nabi”. Mereka bukan setakat mewarisi ilmu
sahaja, bahkan mewarisi tarbiah Rasulullah s.a.w. dengan Al-Bashirah (pandangan
mata hati) dan Al-Khibrah (pengalaman). Kedua, ingatlah bahawa, masih terdapat
lagi mursyid-mursyid sunni yang berpegang dengan dustur Islam, cuma barangkali
anda belum menemuinya.
Kita tidak mengkritik mereka yang ingin memperbaiki diri
sendiri tanpa mursyid, dan hanya merujuk kepada kefahaman mereka terhadap
Al-Qur’an dan As-Sunnah, bahkan kita turut mendoakan kejayaan mereka dan
membantu mereka untuk tujuan kebaikan dan taqwa. Namun, kita cadangkan, jika
mereka dapati, jalan memperbaiki diri sendiri adalah terlalu sukar, mengapa
tidak mengikut contoh Imam Al-Ghazali r.a. dan sebagainya yang mencari mursyid
yang berpengalaman dalam masalah tarbiah?
Percayalah bahawa, rahmat Allah s.w.t. itu luas. Maka,
sepertimana di zaman Imam Al-Ghazali, ada mursyid yang muhaqqiq, seperti itu
juga, di zaman ini dan seterusnya, ada dan akan terus ada mursyid yang
muhaqqiq. Inilah rahmat Allah s.w.t. yang tiada bersempadan kepada umat Islam.
Sedangkan doktor pakar sakit jantung sendiri, bila sakit
jantung, pergi berubat kepada doktor sakit jantung yang lain…maka fahamilah…
Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam menuju
keredhaan-Nya…Amin…
Wallahu a’lam…
No comments:
Post a Comment